Photobucket

Pages

Thursday, November 5, 2009

Episod 1 : aku@KML

Benarlah masa itu umpama air di sungai yang mengalir tidak putus-putus tanpa menanti sesiapa walaupun sekecil zarah saat sekalipun dan memang benarlah masa itu sangat berharga umpama emas. Namun disebabkan masa jugalah kita terpaksa meninggalkan apa ang telah berlaku di belakang kerana mustahil bagi kita untuk mengundurkan masa. Itulah yang dapat ku tafsirkan tentang masa yang berlaku terhadap ku dalam tahun ini kerana seperti baru semalam kaki ku pertama kali memijakkan kaki di bumi KML ini namun realitinya semester 1 telah melabuhkankan tirainya. Terdapat seribu satu alkisah yang telah dilalui sepanjang ku menghirup oksigen di bumi KML ini.

Kenangan Minggu Pengurusan Pelajar Baru (MPPB) masih segar dalam ingatan walaupun sudah 5 bulan berlalu. Buat pertama kalinya bertemu dengan 2500 lebih orang pelajar yang mana majoritinya mempunyai umur sebaya serta berkenalan dengan abang dan kakak fasilitator yang merupakan mantan-mantan pelajar KML sendiri. Pelbagai aktiviti yang dijalani untuk membantu kami menyesuaikan diri dan membina semangat kami dan pastinya sekiranya diukur tahap semangat yang ada pada minggu itu sememangnya tidak dapat dibaca dengan “thermometer” kerana azam yang masih berkobar-kobar jelas terpancar pada riak wajah setiap insan yang baru sahaja bergelar “budak matrik”. MPPB ini benar-benar menguji diri kerana mengikut pengalaman sendiri jika dibandingkan dengan situasi hidup di PLKN memang lebih memenatkan. Tetapi terpulang kepada yang lain mahu menilai MPPB itu bagaimana kerana itu mungkin strategi mereka memberi pendedahan mengenai hidup sebagai “budak matrik”, namun berjaya atau tidak formula yang digunakan? “hidup di KML nie klu x da kawan memang susah” itulah kata-kata seorang fasilitator yang masih bermain-main dalam ingatanku. Memang ada kebenarannya kata-kata itu jikaku kaji sendiri namun malangnya bagi segelintir insan mereka mentafsirkan ‘kawan’ disitu sebagai satu yang lebih kompleks? Sejauh mana keberhasilan kata-kata itu anda mampu menilainya sendiri tatkala semakin banyak merpati dua sejoli yang hinggap di bumi KML ini. MPPB ini juga telah meninggalkan memori manis bagi diriku kerana dalam skala pelajar yang besar aku mampu mencabar diriku sehingga mencuri banyak mata tatkala minggu itu melabuhkan tirainya.


Dengan berakhirnya MPPB maka bermulalah satu jadual yang akan berulang setiap hari. Kuliah, toturial dan amali di makmal antara rutin harian bermula dari pukul 8 pagi hingga 4 ptg. Pelbagai jenis tugasan dihumbankan namun sebagai seorang pelajar itu sudah menjadi kemestian dan perlu diselesaikan dengan bijak tetapi ada juga yang melatah kerana tidak tahan dengan bebanan tugasan yang diberikan. Cerita ini diteruskan apabila aku memasuki gelenggang pilihanraya. Pilihanraya JPP KML merupakan satu lagi kenangan yang tidak dapat aku lupakan kerana itulah kali pertama aku menyertai satu proses asas ke arah melahirkan demokrasi. Pertamanya aku merasa agak goyah, apa tidaknya jika melihat calon-calon yang lain jauh lebih berpengalaman dalam bidang kepimpinan dan yang paling tidak enak ialah apabila terpaksa bersaing dengan kawan sendiri. Pelbagai gelagat yang dapat ditonton tatkala minggu berkempen bermula, hamparan poster-poster para calon boleh di lihat merata-rata dan aku juga tidak ketinggalan menaikkan poster ku "1 KML" kerana dengan cara itu aku merasakan orang lain dapat melihat kesungguhan ku untuk bertanding. Sayangnya ada juga yang berfikiran jumud mengatakan poster itu sekadar publisiti untuk "glamour". Minggu berkempen diakhiri dengan pembentangan manifesto sebelum hari pembuangan undi. Setiap calon diuji dengan pengucapan awam, maka pelbagai janji-janji yang dilafazkan oleh setiap calon untuk meraih undi para pelajar.
Aku bersyukur kerana dengan undi sebanyak 200++(lupa dah) aku berjaya menempah satu daripada 20 tempat duduk barisan JPP yang baru itu. Beberapa minggu selepas itu mesyuarat agung antara 20 orang JPP bersama penasihat JPP(En. Megat) telah diadakan bagi memilih mr.President @ YDP. Mesyuarat malam itu berakhirnya kira-kira pukul 11.30 mlm kerana pelbagai peristiwa sejuk+panas+suam telah berlaku dalam proses memilih majlis tertinggi JPP.



Di sini jugalah aku dapat mendalami Islam. Bekerja dengan para SAHABAT Al-Irfaan(SAIF) adalah satu perkara yang paling berharga dalam diari hidupku. Sifat kerjasama dalam melakukan apa jua aktiviti menjadikan segala aktiviti itu bertambah mudah dan sudah pasti ukhuwah yang terjalin sangat erat. Secara jujur aku amat kagum dengan pengurusan surau al-irfaan terutamanya SAHABAT kerana inilah buat pertama kali aku menyaksikan organisasi AJK surau yang paling teratur mungkin disebabkan keprihatinan alumni-alumni surau itu sendiri. Kehadiran bulan Ramadhan memberi satu lagi cerita menarik dalam episod hidupku kerana inilah pertama kali aku berpuasa jauh dari keluarga namun kehadiran para sahabat SAIF membuatkan aku berasa bersyukur dapat berpuasa di KML. Ukhuwah yang terjalin menyebabkan kami begitu rapat, berbuka puasa beramai-ramai satu talam bukti keakraban kami. Sekaligus aku benar-benar dapat merasakan ramadhan kali ini sangat jauh berbeza dari yang sebelumnya dan aku berasa syukur sangat kerana didamparkan di bumi KML kerana terlalu banyak perkara baru yang aku pelajari.

Setelah seminggu berperang dengan final exam akhirnya 19 Oktober menjadi penamat kisah ku di KML untuk semester 1. Terlalu banyak perkara indah dan tidak kurang juga perkara-perkara pahit yang mahu tak mahu aku terpaksa telan, mudahan pengalaman itu dapat ku jadikan panduan bagi meneruskan perjuangan ku di semester 2 kelak.Persoalannya akankah ada episod 2 ku di KML???Nanti kan....

Jari jemari dialun gemalai,
Mengikut rentak paluan gendang,
Mengamit memori tiada ternilai,
Menjadi panduan hari mendatang;

itu saja dari mata penaku-salam ukhuwah.

Nafas Baru



Agak lama juga blog ini tidak diupdatekan mungkin disebabkan sang pemegang mata pena blog ini dipermainkan oleh percaturan masa. Harap maaf jika entri-entri sebelum ini memaparkan laras penulisan yang agak tidak profesional kerana saya bukanlah seorang yang mahir dalam bidang bahasa namun setelah membaca dan membuat penyelidikan dengan membaca blog-blog yang ada di alam maya ini saya terpanggil untuk melakukan nafas baru pada blog ini. Mustahil untuk saya menghasilkan nukilan yang sama hebat dengan mereka-mereka yang mempunyai blog-blog yang hebat namun tidak mustahil juga jika saya melakukannya secara perlahan bermula dari saat ini.

Diharap sekiranya ada kelemahan pada entri-entri yang akan datang para pembaca sudi menegur dan memberi nasihat agar saya dapat memperbaiki blog ini dari semasa ke semasa.

Salam inteligensia terbilang untuk semua~